Persatuan Alumni UniMAP merupakan Persatuan yang berdaftar (No. Pendaftaran : 0987-11-PER). Jawatankuasa Alumni secara sah yang pertama telah dilantik dalam Mesyuarat Agung yang pertama iaitu pada 30 Julai 2011 di Hotel Seri Malaysia, Kangar Perlis. Tujuan penubuhan Persatuan Alumni UniMAP ini adalah sebagai satu badan untuk menggerakkan aktiviti alumni UniMAP yang sudah bergraduat di samping merapatkan hubungan alumni dengan UniMAP walaupun sudah tidak berada di UniMAP.
Sejarah Penubuhan
Sejarah penubuhan Persatuan Alumni bermula pada tarikh 18 April 2009 (Sabtu), bertempat di ADTECH, Kulim telah berlangsung mesyuarat pertama Alumni UniMAP yang dihadiri oleh beberapa org bekas pelajar UniMAP. Setelah tiga kali majlis konvokesyen sejak 2006 yang berjaya menghasilkan graduan yang berjaya, ini adalah langkah pertama graduan UniMAP membentuk Persatuan Alumni UniMAP. Sebelum ini Persatuan Alumni UniMAP pernah dicadangkan dengan nama ‘Kelab Alumni UniMAP’. Selama tiga tahun ini alumni UniMAP telah bergerak dengan menganjurkan aktiviti ceramah dan motivasi kepada pelajar-pelajar di sekolah terutamanya di Perlis walaupun tidak lagi berdaftar secara formal pada ketika itu, maka pada 2010 bawah pimpinan pengerusi penaja Persatuan Alumni UniMAP pada masa itu, Saudara Sahrudin b Rohseli, alumni UniMAP ini mula menunjukkan perkembangan yang positif. Pada mesyuarat yang pertama ini, saudara Sahrudin telah menjemput jawatankuasa penaja berbincang tentang pelembagaan Persatuan Alumni untuk didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Kementerian Dalam Negeri). Beberapa individu termasuk Sdr. Syed Akhmal yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP yang pertama setelah berdaftar (2011) turut hadir. Beberapa ketetapan telah dibuat berdasarkan di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan-peraturan akta pertubuhan 1966 dan peraturan pertubuhan 1984. Cadangannya semasa itu ialah dengan harapan Persatuan Alumni UniMAP mampu dikembangkan dengan penubuhan koperasi dan syarikat pula. Ia selaras dengan harapan UniMAP yang mengharapkan bekas-bekas pelajar menyumbang sesuatu kepada universiti dan juga memberikan khidmat sosial kepada masyarakat melalui alumni. Pada malam itu juga Saudara Sahrudin dan beberapa jawatankuasa dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniMAP telah menganjurkan majlis makan malam untuk para graduan di Kulim Golf & Country Resort. Seramai 50 org graduan UniMAP yang kebanyakannya bekerja di Pulau Pinang telah hadir pada malam untuk menyokong usaha ini. En Razli Ahmad yang ketika itu sebagai Dekan Hal Ehwal pelajar & Alumni UniMAP, juga telah dijemput hadir dan memberikan ucapan untuk pembangunan Persatuan Alumni UniMAP. Turut hadir ialah Ustz Shahbudin dan En. Nurzaihan (Penolong Pengetua Kolej Kediaman UniMAP pada masa itu).
Objektif
- Menggalakkan semua ahli-ahli persatuan cenderung dalam aktiviti sosial.
- Merancang dan mengadakan segala aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi bagi ahli-ahli, keluarga dan warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
- Merancang dan mengadakan khidmat komuniti.
- Memudahkan persatuan atau ahli-ahli bagi mendapatkan atau menggunakan pelbagai kemudahan UniMAP.
- Membantu UniMAP dalam membudayakan semangat cintakan universiti kepada pelajar-pelajar universiti.